Saturday, February 14, 2015

Jangan Memaksa Andai Orang Tak Sudi...

Assalammualaikum...

Kali ini saya ingin menulis mengenai mereka yang suka memaksa walaupun orang tidak sudi...Tapi cerita ini bukan mengenai kisah cinta ya kawan-kawan tetapi mengenai kawan yang tidak faham bahasa walaupun bahasa yang digunakan merupakan bahasa paling "simple"...

Kisah yang saya nak ceritakan adalah apa yang sering berlaku apabila kawan kita menceburi sesuatu perniagaan berbentuk "Multi Level Marketing" (MLM)...Rasanya MLM bukanlah sesuatu yang asing di kalangan kita malah mungkin ramai antara kita yang menyertainya...Jadi saya tak akan menerangkan apa itu MLM dengan lebih lanjut kerana kita di Malaysia sudah terlalu biasa dengan perniagaan berbentuk MLM...

Saya sejujurnya tiada masalah jika sesiapa sahaja berminat menyertai MLM kerana itu merupakan hak masing-masing...Namun mesti ramai yang mengalami masalah yang sama yang saya hadapi iaitu kawan mengajak kita menyertai perniagaan tersebut untuk menjadi "downline" mereka dan ada kalanya sehingga ke tahap memaksa walaupun kita sudah menolak dengan cara yang baik...Sudah pasti ketika itu kita merasa menyampah kerana kita langsung tidak berminat akan perniagaan tersebut...

Bagi saya, cukuplah sekali kita mengajak rakan untuk menyertai kita...Jika kawan tersebut tidak menunjukkan reaksi yang positif, berhentilah...Tidak perlu diajak berulang kali dan dipaksa jika orang sudah tak sudi...

Ini kerana ada kawan yang tidak sampai hati untuk menolak terus demi menjaga hati kita, jadi seeloknya fahamilah reaksi mereka agar tidak membuatkan mereka jadi menyampah dan sakit hati...Itu sahaja lah pesanan penaja kali ini, insya Allah nanti kita jumpa lagi...

Wassalam...

-Amiruddin Sapiee-

Sunday, February 8, 2015

Akuilah Kesilapan...

Assalammualaikum...

Sebagai manusia, kita tidak akan pernah lari daripada melakukan kesilapan...Ada kalanya kesilapan yang kita lakukan kecil dan ada jua kesilapan besar yang mungkin akan menyebabkan kita menyesal seumur hidup kerana kesilapan itu...

Apa yang penting ialah jangan sesekali mengulangi kesilapan yang sama berulang kali...Belajar dari kesilapan, bukan apabila melakukan kesilapan seolah-olah tiada apa yang berlaku dan kita tidak pernah berusaha untuk mengambil pengajaran...

Selagi kita bernama manusia, selagi itulah mustahil ataupun sukar untuk kita tidak melakukan kesilapan...Namun jika silap tersebut salah di sisi agama, bertaubatlah sebelum terlambat...Kita tidak akan dan tidak pernah tahu bila malaikat Izrail akan menjemput kita untuk "pulang"...Jangan ketika roh sudah hampir berpisah daripada jasad baru hendak bertaubat, maka ketika itu semuanya sudah terlambat...

Sentiasa muhasabah diri dan melihat kelemahan diri, bukan mencari apa kelebihan yang ada pada kita...Kelebihan akan menjadikan kita bongkak dan takbur tetapi apabila kita menyedari kekurangan kita, insya Allah kita akan sentiasa merendah diri dan akan lebih menghargai setiap detik dalam hidup kita...

Wassalam...

-Amiruddin Sapiee-

Saturday, February 7, 2015

Sahabat Dan Kawan...

Assalammualaikum...

Setiap seorang antara kita pasti mempunyai rakan atau kawan...Yang membezakan mungkin hanya jumlah kawan atau rakan kita kerana ada yang mempunyai begitu ramai kawan sehingga tidak mampu dikira dengan jari sama ada jari kaki ataupun jari tangan, dan ada yang sedikit dan memerlukan sebelah tangan sahaja untuk mengira semua jumlah kawan mereka...

Mencari kawan bukanlah perkara yang susah...Ada yang boleh berkawan sebaik sahaja berjumpa, dan ada jua yang boleh menjadi kawan selepas mengambil sedikit masa...Apa yang penting ialah keramahan dan sifat mudah menerima dan diterima oleh orang lain di sekeliling kita yang menjadi faktornya...

Walau bagaimanapun, tidak semua manusia memiliki sahabat...Kerana antara kawan dan sahabat, walaupun mungkin maksudnya sama bagi sesetengah orang, namun hakikatnya ianya amat jauh berbeza...Seorang sahabat sememangnya merupakan kawan tetapi tidak semua kawan merupakan sahabat...

Kawan boleh berada di samping kita ketika kita senang, gembira, kaya, dan sewaktu apa jua situasi atau keadaan yang menyeronokkan berlaku kepada kita...Akan tetapi ketika kita susah, dirundung masalah atau menghadapi kesulitan dalam hidup, mereka yang bernama kawan pasti akan menghilangkan diri dan cuba menjauhkan diri sejauh yang mungkin...Ada yang menjadi seperti orang asing disaat kita dalam kesusahan...

Berbeza dengan sahabat...Sahabat akan sentiasa berada di sisi kita tidak mengira masa, keadaan atau apa jua situasi yang dihadapi oleh kita...Seorang sahabat akan senyum dan ketawa bersama saat kita senang, dan akan menangis dan berduka bersama kita saat kita mengalami kesulitan...Seorang sahabat akan membantu saat kita menghadapi masalah atau sekurang-kurangnya menjadi tempat mengadu jika mereka tidak mampu membantu sekalipun...

Mencari sahabat sejati yang akan bersama dengan kita saat suka duka, susah senang, gembira derita bukanlahsesuatu yang mudah...Jika kita mempunyai sahabat sejati jangan sesekali di sia-siakan...Hargailah mereka kerana jika kita kehilangan seorang sahabat sejati yang baik, mungkin agak mustahil untuk kita menemui seorang lagi yang sama seperti itu...Dan jadilah sahabat yang baik dengan menjaga hati orang di sekeliling kita dan membantu jika mereka di dalam kesusahan selagi mampu dan tidak memudaratkan diri kita sendiri...

Wassalam...

-Amiruddin Sapiee-